Tenaga pengajar

Tenaga pengajar

Tuesday, 12 May 2015

LAPORAN AKTIVITI


1. PERSEDIAAN AKTIVITI.

a) Pemilihan kandungan yang hendak diajar.

            Sebelum bermulanya Kem Membaca di Sekolah Kebangsaan Behrang pada 25 dan 26 April 2015 kami telah merancang beberapa aktiviti dan mendapat persetujuan antara ahli kumpulan. Kami telah membahagikan aktiviti tersebut kepada dua plan aktiviti iaitu Plan A dan Plan B. Tujuan kami membuat Plan A dan Plan B adalah bertujuan sebagai persediaan kepada para fasilitator sekiranya aktiviti yang dijalankan pada ketika itu tidak berkesan atau tidak mendapat respon dari pelajar. Oleh itu, Plan A wajar bertukar ke Plan B. Di dalam Plan A, kami telah merancang aktiviti mengenal huruf A B C dan suku kata, serta mengenal pasti nilai-nilai murni yang terkandung di dalam petikan yang disediakan. Manakala, di dalam Plan B, kami menyediakan buku cerita yang mempunyai gambar yang ceria dan menarik supaya pelajar akan lebih tertarik untuk belajar. Di samping itu, kami turut menyediakan pelbagai video untuk dipaparkan kepada pelajar berkaitan dengan membaca.

b) Pembinaan alat bantuan.

            Dari aspek pembinaan alat bantuan pula, bagi aktiviti pertama iaitu aktiviti mengenal huruf A B C dan suku kata, kami telah mencari bahan-bahan untuk mencipta ‘ Kad Abjad ’ atau ‘ Kad Huruf ’ bagi menarik minat pelajar mengenal huruf . Antara bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan Kad Huruf adalah kertas A4, mounting board, multi purpose tack, gam, gunting dan white board marker. Selain itu, bagi aktiviti mengenal pasti nilai-nilai murni yang terkandung di dalam petikan pula, kami hanya menggunakan kertas A4 dan menyediakan pensel serta pemadam kepada pelajar. Seterusnya, bagi aktiviti bercerita pula kami telah menyediakan beberapa buku cerita kepada pelajar serta membawa laptop untuk menayangkan video-video yang berkaitan dengan membaca.

c) Rasional aktiviti yang dipilih.

            Kumpulan kami telah mendapat pelajar dari kelas 2 Wawasan dan 3 Wawasan. Kelas tersebut terdiri daripada pelajar yang tidak pandai membaca, boleh membaca tetapi tidak memahami perkataan atau ayat yang dibaca. Oleh itu, kami menjalankan aktiviti ini bertujuan sebagai pengenalan atau pendedahan dengan lebih lagi kepada pelajar berkaitan huruf agar pelajar bukan sahaja dapat mengecam dan mengenal huruf, malah mereka akan dapat mengeja dan menulis dengan baik iaitu bermula dari satu huruf, kemudian di kembangkan lagi kepada suku kata yang mudah bagi mereka mencipta perkataan. Kemudian, melalui perkataanlah mereka boleh mencipta ayat. Bagi aktiviti kedua iaitu aktiviti mengenal pasti nilai-nilai murni yang terkandung di dalam petikan yang diberi adalah bertujuan supaya pelajar memahami pengertian nilai-nilai murni dan memahami isi cerita di dalam petikan agar mereka dapat mengolah cerita tersebut dengan baik. Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab fasilitator dalam membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bahan yang dibaca. Seterusnya, bagi aktiviti membaca buku cerita adalah bertujuan supaya pelajar lebih tertarik untuk membaca. Ia bukan sahaja bertujuan kemahiran dalam membaca, malam perlu ada kemahiran dalam pemahaman.

d) Kaitkan dengan kemahiran yang terdapat dalam modul keterampilan.

            Segala aktiviti yang dirancang ini sememangnya mempunyai kaitan dengan kemahiran seperti yang terdapat dalam modul keterampilan. Modul keterampilan ini turut melibatkan tiga elemen iaitu, guru, pelajar dan bahan pengajaran. Fasilitator sebagai guru harus menampilkan gaya kepimpinan mereka sewaktu mengajar di dalam kelas supaya tahap kefahaman pelajar akan meningkat dengan lebih baik justeru mampu memberi respon atau mendatangkan hasil dari pembelajaran tersebut. Selain itu, penglibatan pelajar di dalam kelas adalah sangat penting iaitu dengan mengadakan kuiz dan meminta pelajar tampil ke hadapan bagi menjawab soalan dari fasilitator.

2. PERLAKSANAAN AKTIVITI.

a) Gambar bahan pengajaran

   Bahan pengajaran bagi mengenal huruf ABC dan suku kata



                                                                            


                        Gambar bagi bahan pengajaran nilai murni








b)Latihan murid

8.30 - 10.00 pagi

Aktiviti 1: Mengenal huruf A B C dan suku kata.    
            Sebelum memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di dalam kelas, kami memulakan sesi perkenalan antara fasilitator dengan pelajar. Seterusnya, senaman pagi atau dikenali sebagai ‘ Energizer  Dance ’ bersama pelajar. Antaranya ialah senaman ‘ Bukit yang cantik ’ dan  ‘ Chicken Dance ’. Kami turut menggunakan tayangan dan muzik supaya pelajar boleh turut serta bersama kami dalam senaman tersebut sambil menggerakkan badan mengikut rentak. Senaman pagi ini adalah untuk regangan badan dan otot-otot di samping sesi beramah mesra dengan fasilitator. Sekiranya pelajar sihat, sesi P&P yang akan bermula akan berjalan dengan lancar kerana pelajar tidak mengantuk dan boleh menumpukan perhatian sewaktu sesi P&P. Beberapa minit kemudian, sesi P&P bermula dengan menayangkan video dan bernyanyi bersama-sama lagu ‘ Mengenal ABC ’. Aktiviti mengenal huruf A B C dan suku kata ini dijalankan bertujuan untuk memberi pengenalan ringkas kepada para pelajar tentang huruf dan suku kata yang telah disediakan. Bagi aktiviti ini, para pelajar telah disediakan dengan bahan seperti, kad huruf dan suku kata serta tayangan video di mana ianya bertujuan untuk mengelakkan pelajar berasa bosan sewaktu sesi P&P dilaksanakan. Selain itu, kami turut mengadakan kuiz dan permainan berkaitan mengenal huruf dan mencipta perkataan dari suku kata yang diberi. Pelajar yang berjaya akan diberikan ganjaran sebagai pemberi semangat untuk pelajar belajar.

11.00-12.30 tengahari

Aktiviti: Mengenal pasti nilai-nilai murni.
Aktiviti bagi slot yang kedua pula, kami telah menyediakan petikan yang mengandungi nilai-nilai murni. Aktiviti ini dijalankan dengan adanya bantuan dan bimbingan daripada fasilitator. Pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk memudahkan fasilitator mengenal pasti masalah membaca dan pemahaman dalam kalangan pelajar. Berdasarkan aktiviti ini, pelajar dikehendaki membaca beramai-ramai mengikut kumpulan yang telah diberi. Kemudian, pelajar perlu mengenal pasti nilai-nilai murni yang terkandung di dalam petikan yang telah disediakan. Aktiviti ini hanya memerlukan tumpuan pelajar untuk mencari jawapan yang betul. Bagi mengelakkan aktiviti ini membosankan, kami sebagai fasilitator telah menyediakan hadiah bagi pelajar yang berjaya menjawab soalan sebagai ganjaran. Sebelum aktiviti ditamatkan, fasilitator telah mengadakan aktiviti santai bersama para pelajar seperti permainan kerusi muzikal, tarian dan sesi fotografi(bergambar).

REFLEKSI TERHADAP AKTIVITI YANG DIJALANKAN

            Bagi aktiviti pertama iaitu aktiviti mengenal huruf A B C dan suku kata, kami berpendapat bahawa tahap penerimaan pelajar terhadap aktiviti ini sangat baik. Hal ini demikian kerana pelajar telah didedahkan sedikit sebanyak huruf atau abjad ini di dalam kelas bersama guru-guru mereka. Oleh itu, sewaktu aktiviti ini dijalankan, respon daripada pelajar adalah sangat baik dan kebanyakan dari mereka sudah mengenali huruf-huruf ini. Namun, tidak semua pelajar yang mampu menerima semua yang di ajar, terdapat juga pelajar yang keciciran sewaktu sesi ini dijalankan. Oleh itu, fasilitator mengambil inisiatif dengan mengasingkan pelajar tersebut dengan pelajar yang lain. Kemudian, mengajar mereka secara peribadi. Sekiranya tidak diasingkan, pelajar tersebut akan ketinggalan dalam pembelajaran. Selain itu, tahap kefahaman pelajar dalam setiap perkataan yang dibaca adalah sangat penting. Tidak semua pelajar yang boleh membaca dan memahaminya, namun terdapat pelajar yang hanya pandai mengeja, menulis dan membaca sahaja, namun mereka tidak memahami segala yang ditulis. Dengan adanya aktiviti ini, kami dapati bahawa terdapat perubahan positif dari pelajar iaitu dari tidak mengenal huruf sudah mengenal huruf, sudah pandai menulis, mengeja dan membaca iaitu dari hanya satu huruf sahaja, kemudian berkembang ke suku kata, perkataan, dan menjadi ayat.
            Selain itu, aktiviti yang kedua adalah aktiviti yang mengkehendaki murid untuk mengenal pasti nilai-nilai murni di dalam petikan yang diberi. Sewaktu aktiviti ini dijalankan, pelajar akan diagihkan terlebih dahulu kertas A4 yang mengandungi satu petikan ringkas dan mereka dikehendaki untuk membaca beramai-ramai serta mengenal pasti nilai-nilai moral seperti yang terdapat di dalam petikan. Kami mendapati bahawa, pelajar yang dapat membaca dengan baik akan memahami setiap perkataan yang dibaca. Hasil dari aktiviti ini kita dapat melihat perubahan drastik dari pelajar iaitu apabila pelajar dapat mengeja dengan baik, menulis dengan baik, dan yang paling penting adalah pelajar dapat memahami setiap apa yang diajar ketika proses P&P.







No comments:

Post a Comment